Oct 30, 2025 - FASSelangor FC mara ke pusingan Separuh Akhir Piala FA bagi 2025/26 selepas meraih keputusan 6-3 secara agregat menentang Negeri Sembilan FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya semalam.
Perlawanan kedua Suku Akhir Piala FA 2025/26 menyaksikan permulaan yang menarik dengan jaringan pembukaan Harith Samsuri pada minit ke-12, sebelum Nyanasegar Jaavabilaarivin menambah jaringan The Jangs pada minit ke-27. Sebelum tamat separuh masa pertama, Willian Lira berjaya menjaringkan gol pertama beliau bersama Merah Kuning pada minit ke-42, memastikan pasukan kekal di hadapan secara agregat.
Aksi separuh masa kedua lebih sengit dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan. Mio Tsuneyasu berjaya mendapat ruang meledak gol pada minit ke-80, meletakkan Negeri Sembilan FC di hadapan. Namun, tujuh minit kemudian, kapten pasukan, Faisal Halim, menambah gol, menjadikan kedudukan skuad Gergasi Merah 6-3 secara agregat, sekali gus memastikan pasukan layak ke pusingan Separuh Akhir walaupun tewas 2-3 pada malam semalam.
Menurut Ketua Jurulatih Selangor FC, Christophe Gamel, melahirkan rasa gembira mara ke Separuh Akhir tetapi mengharapkan konsistensi daripada pasukan dari masa ke semasa.
“Kita tahu ini akan menjadi perlawanan yang sukar kerana mereka datang ke sini dengan misi yang sama, untuk mara ke pusingan seterusnya dan kita dapat lihat semalam, inilah perlawanan piala yang sebenar. Banyak risiko yang saya lakukan semalam, salah satunya adalah membuat rombakkan barisan terutamanya dengan kehilangan dua pemain. Ini sememangnya mempengaruhi konsistensi, sesuatu yang memerlukan masa, rentak dan kesinambungan sepanjang proses,” jelas beliau
“Secara keseluruhan, para pemain bermain dengan agak baik, walaupun saya agak kecewa dengan gol pertama yang kita bolos, kerana berlaku hanya beberapa saat selepas peluang yang kita hampir jaringkan gol. Walau bagaimanapun, perlawanan semalam memberi pemain muda pengalaman yang berharga dan akan membantu pasukan bersedia untuk perlawanan seterusnya. Dalam masa yang sama, proses ini juga adalah untuk kebaikan kelab dan pasukan,” tambahnya lagi
Seterusnya, Selangor FC akan terbang ke bumi di bawah bayu untuk saingan Liga Super 2025/26 bagi menentang Sabah FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada jam 7:30 malam.
Pihak pengurusan Selangor FC berterima kasih kepada 7,517 para penyokong yang memeriahkan perlawanan kedua Suku Akhir Piala FA 2025/26 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya semalam dan mengharapkan tiada sebarang kecederaan teruk berlaku.
Demi Kebanggaan!